suria

Umno Bahagian Bermasalah Kini Berada Pada Tahap Minimum

SEREMBAN: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno Bahagian yang bermasalah kini berada pada tahap paling minimum.

Tanpa memberikan butirannya, beliau berkata sebelum ini banyak Umno Bahagian yang bermasalah, tetapi kini sudah tinggal sedikit dan kini paling minimum setelah beberapa pertemuan diadakan antara bahagian berkenaan dengan presiden parti dan juga timbalan presiden.

"Umno Bahagian seperti ini perlu 'rawatan' sebab itu kita aturkan beberapa perjumpaan antara bahagian itu dengan presiden dan juga timbalan presiden parti.

"Umno Bahagian yang bermasalah kini sudah tinggal sedikit setelah mereka faham dan akur matlamat perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Seremban di sini, Sabtu.

Beliau yakin selepas ini Umno akan menjadi lebih mantap lagi terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata sebenarnya kalau seluruh anggota Umno teguh bersatu, ia tidak dapat digugat oleh orang lain.

"Masalahnya Umno sendiri yang akan membuat masalah. Jadi, 'rawatan' sedang dilakukan dan setakat ini beberapa pertemuan telah diadakan antara presiden dan juga timbalan presiden parti dengan Umno Bahagian terbabit," katanya.

Sementara itu, katanya, setakat ini daripada 121 Umno Bahagian di seluruh negara, sebanyak 42 telah mengadakan mesyuarat perwakilan mereka masing-masing.

Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian perlu diadakan mulai 1 Ogos hingga 16 September ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain