suria

Tabung Haji Sasar Agihan Zakat RM1,3 Juta Kepada Lebih 2,000 Golongan Asnaf

BAYAN LEPAS: Lembaga Tabung Haji (LTH) menyasar agihan zakat sebanyak RM1.3 juta kepada lebih 2,600 golongan asnaf di seluruh negara tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Datuk Paduka Ismee Ismail berkata, program seperti sumbangan zakat kepada golongan asnaf adalah manifestasi dalam merealisasikan peranan LTH sebagai sebuah institusi kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi ummah.

Beliau berkata, pada awal tahun ini LTH telah membayar RM1.6 juta zakat kepada Pusat Zakat Pulau Pinang.

"Sebagai sebuah institusi Islam, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawab dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap negeri di seluruh Malaysia.

"Program ini (sumbangan zakat) juga memberi peluang kepada Tabung Haji untuk mendekati serta mengeratkan ikatan silaturahim yang sedia terjalin dengan kumpulan berkepentingan dan komuniti setempat," katanya pada majlis berbuka puasa sempena penyerahan surau dan penyampaian sumbangan Aildilfitri, di sini malam Jumaat.

Yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Sharif serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd Salleh Man.

Ismee berkata, kesedaran masyarakat untuk mengeluarkan zakat seperti zakat simpanan, zakat perniagaan dan zakat pendapatan semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, LTH turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat untuk golongan asnaf antaranya pembinaan rumah, kesihatan dan pendidikan.

Terdahulu, LTH menyerahkan surau dua tingkat, Surau As-Saadah, yang dibina di Kampung Perlis, di sini kepada MAIPP.

Surau berkeluasan 909 meter persegi bernilai RM1.08 juta yang dibina di atas tanah milik LTH boleh memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu masa bagi menggantikan surau lama di kampung itu yang sudah uzur.

Pada majlis yang sama, LTH juga menyampaikan sumbangan zakat kepada 50 orang penerima yang terdiri daripada 25 ibu tunggal dan 25 warga emas yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain