suria

PDRM Perketat Kawalan Keselamatan Menjelang Aidilfitri

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan keselamatan di seluruh negara melibatkan anggota di semua cawangan bagi menjaga keselamatan awam menjelang Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya akan menggiatkan rondaan dan pemantauan melibatkan zon yang kerap menerima laporan kejadian jenayah termasuk meningkatkan kehadiran polis di tempat awam bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara terutama pada musim perayaan.

"Polis memberi jaminan anggota kita mencukupi untuk tujuan ini dan beberapa strategi khas telah diatur untuk musim perayaan ini bagi terus memastikan keselamatan harta benda dan diri orang awam di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan sumbangan kepada balu anggota polis dan anak yatim di sini malam Jumaat.

Beliau berkata, sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, pihaknya akan melancarkan Ops Sikap ke-26 secara bersepadu pada 10 Ogos depan bagi membendung kadar kemalangan pada musim perayaan dan memastikan pemanduan berhemah oleh pengguna jalan raya.

Yang turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi dan Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain