suria

Isnin Aliasnih Akan Pangku Jawatan Ketua Umno Bahagian Beaufort

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih akan dilantik sebagai pemangku ketua bahagiannya berikutan perletakan jawatan ketuanya, Datuk Seri Lajim Ukin.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno berdasarkan perlembagaan parti.

"Majlis Tertinggi juga memutuskan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah akan mengawasi perjalanan parti Bahagian Beaufort.

"Dan juga memberi apa-apa juga bantuan yang diperlukan oleh Bahagian Beaufort untuk menentukan kekuatan Umno dan Barisan Nasional supaya tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat.

Sabtu lalu Lajim melepaskan semua jawatannya dalam Umno iaitu sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, beliau sudah pun bertemu dengan beberapa pemimpin BN Sabah dan membincangkan tentang perletakan jawatan Lajim.

Menurut beliau, apapun yang berlaku ekoran perletakan jawatan itu, kedudukan BN tidak akan tergugat dan mampu menangani cabaran berkenaan.

"Kita akan buat langkah-langkah yang sesuai untuk memulihkan keadaan dan memantapkan lagi kedudukan Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Mengulas mengenai tawaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Lajim supaya kekal bertanding pada kerusinya dengan syarat menyertai mana-mana parti yang menyokong dasar pakatan, Najib berkata: “Itu biasalah, itu kerja dia (Anwar). Dia biasa buat macam-macam janji. Tiada yang baru.”

Berhubung keahlian Lajim dalam Umno, Najib berkata, Lajim sudah pun menerima surat tunjuk sebab daripada parti.

“Semuanya mengikut prosedur biasa seperti orang lain. (Keahlian) dia sampai habis tempoh dua minggu (surat tunjuk sebab),” katanya ketika ditanya adakah Lajim akan dipecat sebagai ahli Umno berikutan keputusannya meletakkan semua jawatan dalam parti.

Selain Lajim, Anwar turut menawarkan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang kepada Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun dibatalkan serta-merta dengan berkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adazam Shah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal (5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditanya sama ada terdapat pemangku jawatan timbalan menteri bagi menggantikan Lajim, Najib berkata: “Mana ada jawatan untuk pemangku timbalan menteri dan jawatan itu kosong.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain