suria

Beri Sokongan Kepada Chong Wei - PM

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua rakyat Malaysia supaya menyokong Datuk Lee Chong Wei dalam usahanya untuk merangkul emas pertama di Sukan Olimpik untuk negara.

Sebagai tanda sokongan kepada Chong Wei, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan berlepas ke London, malam Sabtu.

Najib berkata, isterinya membuat keputusan itu sejurus selepas Chong Wei mara ke final acara perseorangan lelaki, malam Jumaat.

"Isteri saya yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berlepas ke London dengan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman. Mereka ingin memberi sokongan padu kepada Chong Wei," kata Najib pada majlis penyampaian zakat di sini, Sabtu.

Beliau berkata, Chong Wei berpeluang cerah untuk melakar sejarah sebagai atlet pertama menyumbang pingat emas di Olimpik untuk Malaysia.

"Saya berkesempatan mengucapkan tahniah kepada Chong Wei selepas dia memenangi aksi separuh akhir. Saya memberitahunya bahawa seluruh rakyat Malaysia sentiasa menyokong beliau.

"Saya juga memintanya supaya terus kuat dan melakukannya demi Malaysia. Saya percaya dia suruh bersedia dari segi mental untuk berdepan Lin Dan dan ada peluang untuk menang pingat emas," kata Najib.

Sementara itu, Rosmah berkata, beliau telah berjanji kepada Chong Wei untuk berada di sana sekiranya dia memenangi aksi separuh akhir.

"Dia seperti anak saya sendiri. Apabila dia mara ke final, saya memberitahu suami bahawa saya akan pergi ke London untuk menunaikan janji saya," katanya.

Rosmah berkata, Chong Wei ada menghubunginya sebelum pertemuan dengan pemain China, Chen Long dan beliau memintanya supaya melakukan yang terbaik.

"Dia amat tenang dan yakin tetapi masih memerlukan sokongan kita semua," katanya.

Rosmah juga berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk menyediakan bendera dan kain rentang.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia di London untuk memenuhi gelanggang perlawanan dan mengurangkan penyokong China. Saya berharap semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik untuk terus menyokong Chong Wei," katanya.

Mengulas mengenai peluang Chong Wei ke atas Lin Dan, Rosmah berkata, kedua-dua pemain mempunyai peluang sama rata tetapi pemain China itu bijak dalam permainan psikologi.

"Tiada sebab untuk Chong Wei tergugat dengan Lin Dan. Perkara paling penting adalah dia perlu kuat dari segi mental, fokus dan komited," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain