suria

Rasuah: Pembantu Penguatkuasa JPJ Dipenjara Setahun, Denda RM20,000

KUALA LUMPUR: Pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipenjara 12 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berjumlah RM1,000 tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Norazha Izwan Mohd Aripin, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai Jumaat, dan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit dia dikenakan penjara tambahan selama enam bulan.

Beliau dalam penghakimannya berkata: "Mahkamah mendapati keterangan tertuduh hanyalah penafian semata-mata yang tidak disokong oleh bukti-bukti lain dan bersifat after thought."

Bagi pertuduhan pertama, Norazha Izwan didakwa meminta suapan RM1,000 daripada Ooi Aik Keng untuk dorongan agar tidak mengambil tindakan atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan membuat pengubahsuaian kenderaan, berhampiran BHP Petrol Jalan Kuching, di sini pada 5 petang, 4 Januari 2011.

Bagi pertuduhan kedua, Norazha Izwan didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan RM1,000 daripada Ooi bagi tujuan yang sama di hadapan EON Bank Danau Kota, Setapak pada 8 malam, hari sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 17(a) akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari SPRM Mohd Nur Lokman Samingan dengan mengemukakan sembilan saksi, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mohd Shahrullah Khan memohon mahkamah supaya menangguhkan hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya itu sementara menunggu rayuan.

Ahmad Zamzani membenarkan permohonan itu dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM6,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu Mohd Nur Lokman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam, sementara Mohd Shahrullah Khan pula memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh baru berkahwin dan isterinya sedang mengandung. - BERNAMA

Artikel Lain