suria

Pegawai Akaun Syarikat Keselamatan Didakwa Pecah Amanah RM11,000

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai akaun di sebuah syarikat pengawal keselamatan pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang gaji pekerja berjumlah lebih RM11,000 bulan lepas.

Tuhul Muntako Wasito, 25, dari Kg Padang Balang, Sentul didakwa melakukan pecah amanah wang tunai gaji pekerja Syarikat Anirass Gaya Security Services Sdn Bhd di No 2C, Jalan Pahang Barat, Sentul antara 6 Julai hingga 7 Julai lepas yang berjumlah RM11,449.

Dia, yang ditangkap pada Khamis, dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM1,000 kerana dia tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober depan untuk pengurusan kes. - BERNAMA

Artikel Lain