suria

Malaysia Jaguh Pentadbiran Ekonomi - PM

SEREMBAN: Malaysia boleh dianggap sebagai jaguh dalam pentadbiran ekonomi apabila berjaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan berbanding negara lain terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian Malaysia juga adalah lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara maju di Eropah apabila ada antara negara itu mengalami beban hutang yang tinggi dan kadar pengangguran di kalangan orang muda mencecah 45 peratus.

"Sepanyol mungkin boleh menang (bola sepak) Piala Eropah, tetapi meski pun kita kalah dalam bidang bola sepak, tetapi kita boleh dikatakan jaguh dalam bidang pentadbiran ekonomi negara kita," katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid At-Taqwa di Paroi, di sini Khamis.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat besar atau menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bagi membangunkan ekonomi, rakyat dan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat pertolongan dan nikmat pembaharuan yang diperjuangkan.

Falsafah dan pendekatan kerajaan ini yang diguna untuk membangunkan ekonomi negara adalah lebih baik berbanding teori-teori barat kerana ia berpaksi dan berdasarkan semangat dalam Al-Quran dan Sunnah, katanya.

"Sebab itulah bila kita menegakkan prisip keadilan sosial maka kita dapat memperlihatkan ekonomi negara kita melalui pertumbuhan yang baik dan kita juga pastikan rakyat mendapat pembelaan sebaik mungkin," katanya.

Perdana menteri berkata, kerajaan sentiasa mempunyai pengisian dalam melaksanakan sesuatu agenda, dan apabila melaksanakan sesuatu kerajaan sentiasa berfikiran jauh dan tidak hanya berjanji tanpa menunaikannya.

"Tanda-tanda sudah ada, tahun ini apa kejayaan kita, pada tahun 2011 hasil negara bertambah RM26 bilion dalam masa setahun sahaja. Daripada hasil itulah kita bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Sekarang ini ada orang bunyi mahu BR1M kedua, kalau mereka boleh buat Bersih 1 Bersih 2, kita boleh buat BR1M 1, BR1M 2...kalau ada rezeki. Itu lebih bermakna daripada kita buat rusuhan," katanya.

Najib berkata, selepas Malaysia menyenaraikan saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang merupakan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar di dunia, saham-sahamnya melonjak naik berbanding saham laman sosial popular Facebook yang jatuh.

Selain itu, baru-baru ini IHHL Care, sebuah syarikat yang majoritinya dikuasai Khazanah Nasional menjadi syarikat pembekal kesihatan kedua terbesar di dunia dan memiliki 63 hospital di beberapa negara termasuk India dan Turki.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Masjid At-Taqwa, Paroi, di sini yang siap dibina pada 2010 dengan kos RM10 juta dan mampu memuatkan 3,000 jemaah.

Turut hadir Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk, Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Perdana Menteri dan isteri kemudian menunaikan solat Tarawih di masjid itu. - BERNAMA

Artikel Lain