suria

Lelaki Iran Ke Tali Gantung Edar Methamphetamine Di KLIA

SHAH ALAM: Seorang lelaki warganegara Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2,849 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan pertuduhan ke atas Seyedalireza Seyedhedayatolla Ehteshamiardestani, 30, melampaui keraguan yang munasabah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 4.30 petang pada 24 Sept 2010, dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh ditahan dengan sebuah beg beroda di KLIA, dan dalam pembelaannya tertuduh memberitahu bahawa beg berkenaan milik seorang bernama Alizadeh yang ditemuinya di Doha, Qatar sebelum berlepas ke Malaysia.

Beliau berkata Seyedalireza dalam pembelaannya juga memberitahu bahawa Alizadeh telah memintanya untuk mendaftar masuk beg itu.

"Bagaimana tertuduh hanya ikut arahan Ali, seorang yang dia baru jumpa? Ternyata pembelaan tertuduh adalah rekaan dan penafian semata-mata.

"Tertuduh was caught red-handed (ditangkap dengan bukti kesalahan masih di tangan) dan pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen melampaui keraguan yang munasabah. Justeru tertuduh didapati bersalah dan dijauhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sepanjang perbicaraan seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asyraf Md Kamal, sementara Seyedalireza diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik. - BERNAMA

Artikel Lain