suria

Kes Bunuh: Polis Tahan Wanita Thailand Bantu Siasatan

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita Thailand yang dikenali sebagai 'Mek Na' yang juga merupakan individu penting dalam kes pembunuhan seorang rakyat Indonesia di Kampung Tapah, Setiu, Sabtu lalu diberkas polis petang Khamis.

Wanita berumur 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan warga Indonesia yang dikenali sebagai Heri, 32, yang mayatnya ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata wanita yang juga merupakan teman wanita kepada suspek utama itu ditahan kira-kira 2.20 petang di sebuah rumah di Kampung Payong, Setiu.

"Wanita itu ditahan bagi membantu siasatan kerana pihak polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan disebabkan perasaan cemburu membabitkan wanita itu. "Kita akan jalankan siasatan lanjut ke atas wanita itu dan percaya pihak polis dapat menyelasaikan kes pembunuhan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Semalam suspek utama kes berkenaan seorang lelaki warga Thailand berumur 51 tahun menyerah diri setelah gambarnya disiar di akhbar dan televisyen baru-baru ini.

Suspek itu kini ditahan reman sehingga 9 Julai bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain