suria

Jadikan Pergolakan Di Timur Sebagai Iktibar - Tengku Abdullah

TEMERLOH: Pergolakan yang berlaku di negara Timur Tengah perlu dijadikan iktibar oleh rakyat negara ini terutamanya umat Islam, titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Titah baginda pergolakan itu menyebabkan negara terbabit dilanda peperangan dan di ambang kehancuran serta rakyatnya menderita.

Baginda bimbang pergolakan yang berlaku di negara berkenaan akan merebak ke negara ini jika rakyat tidak menghormati undang-undang dan melakukan aktiviti secara melampau serta tidak menghormati perpaduan antara satu sama lain.

"Rakyat terutamanya umat Islam di negara ini perlu mengekalkan hubungan dan perpaduan antara satu sama lain kerana segala kemewahan serta nikmat yang dikecapi kini adalah hasil kerjasama dan perpaduan semua kaum.

"Budaya bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain itu bukan sahaja untuk masa kini, tetapi perlu diteruskan bagi kepentingan dan keamanan serta kesejahteraan genarasi akan datang," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah sewaktu merasmikan masjid baru Kampung Sanggang berharga RM450,00 di Sanggang petang Khamis.

Baginda turut menamakan masjid itu Masjid Saiyidina Abu Bakar Al-Sidek.

Turut berangkat Tengku Puan Hajah Aminah Azizah Iskandariah. Hadir sama Anggota Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohd Said, Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Tengku Abdullah juga mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik, sebaliknya mahu rumah ibadat itu perlu dimanfaatkan untuk beribadat serta berkumpul dan meningkatkan muhibbah dalam kalangan ummah.

"Jika hendak berpolitik keluar daripada masjid kerana masjid yang dibina itu perlu digunakan untuk beribadat dan menimba ilmu untuk dunia dan akhirat sahaja.

"Jika masjid yang tersergam indah itu disalahgunakan apatah lagi bagi berkempen dan berpolitik, maka akan terjejas rumah keagungan umat Islam itu," tegas baginda.

Baginda juga meminta pemimpin masyarakat tempatan dan penjawat awam turun padang menyelesaikan masalah rakyat dengan pendekatan bekerjasama dan bertolak ansur supaya segala yang dihadapi itu akan dapat diselesaikan.

Titah baginda, apa yang dilakukan itu biarlah ikhlas dan pantas supaya rakyat mendapat manfaat. - BERNAMA

Artikel Lain