suria

Isu Rafizi Didakwa: Maklumat Sulit Kewangan Sepatutnya Disalur Ke SPRM - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat kewangan sulit mengenai butiran kewangan yang berkaitan dengan rasuah perlu mendedahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, maklumat sulit seumpama itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.

“Jika didedahkan kepada umum, ia bermakna telah melanggar Bafia (Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989).

“Tujuan Bafia adalah untuk melindungi integriti dan kredibiliti sistem kewangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini Jumaat.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli pada Rabu lalu yang didakwa melanggar Bafia kerana mendedahkan dokumen mengenai butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) kepada umum.

Najib berkata, jika seseorang itu mempunyai akaun dalam sistem kewangan maka perlu diyakinkan bahawa pemiliknya seharusnya dilindungi sepenuhnya.

“Jika tidak, orang tidak akan menyimpan wang dalam sistem (kewangan). Pihak antarabangsa juga tidak melaburkan wangnya di Malaysia.

“Ini bercanggah dengan kepentingan awam. Ini kerana kepentingan awam adalah memastikan sistem kewangan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan, ini tidak bermakna kerajaan membiarkan aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram kerana maklumat mengenainya boleh disalurkan kepada pihak berkuasa yang sepatutnya.

Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Rabu terhadap pertuduhan itu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bekas kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin masing-masing ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 10 September ini dan kedua-dua kes dibicarakan serentak.

Artikel Lain