suria

Ikan Paus Mati Mungkin Alami Masalah Deria Sensor

KOTA KINABALU: Seekor ikan paus seberat lebih 10 tan yang terdampar selama 12 jam di muara Sungai Sitompok di Kuala Penyu dekat sini Khamis, ditemui mati kemungkinan akibat masalah deria sensornya yang tidak berfungsi selepas berpisah daripada kumpulannya.

Penguasa Perikanan Daerah Kuala Penyu, Julin Bagang berkata paus sepanjang kira-kira 17 meter spesies Balen itu dipercayai mengalami tekanan apabila berada di kawasan bukan habitat biasanya.

"Melalui pemerhatian saya, derianya akan menghadapi tekanan dan ia berdepan dengan masalah deria yang menyebabkan sensornya tidak berfungsi.

"Saya juga lihat badannya tidak sesuai dan tidak berapa normal dengan persekitaran yang ada dan boleh menggangu sistem badannya," katanya.

Ikan paus itu ditemui seorang pekerja Taman Pulau Tiga terdampar kira-kira 20 meter dari gigi air sungai itu pada pukul 9 pagi.

Semasa dijumpai, ikan itu masih bergerak, bagaimanapun kira-kira pukul 8 malam tadi ikan itu ditemui tidak bernyawa lagi.

Julin yang pertama kali menguruskan penemuan ikan paus itu berkata pihaknya telah berusaha untuk menyelamatkan paus berkenaan termasuk membawa keluarnya dari kawasan pantai itu dan menyiram air menggunakan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Kita juga tidak mempunyai pakar dan kemahiran untuk usaha menyelamatkan paus itu, kedudukannya tidak kena dan mungkin tidak ada air menyebabkan dia mati," katanya.

Pihaknya telah melantik syarikat kontraktor untuk mengangkat bangkai ikan itu untuk dibawa ke satu lokasi pengkebumian khas di sekitar Kuala Penyu.

Katanya kerja-kerja untuk mengangkat ikan paus itu mengambil masa lebih tiga jam sejak memulakan operasi pukul 2 petang Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain