suria

Dua Lelaki Diberkas: Polis Selesai 15 Kes Curi Motosikal Di Tawau

TAWAU: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes curi motosikal dengan tertangkapnya dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu di Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin berkata lelaki pertama berusia 24 tahun ditahan pada 29 Julai lalu hasil risikan pasukan itu dan berjaya merampas sebuah motosikal Honda EX5 dipercayai motosikal curi daripada suspek.

Katanya siasatan yang dijalankan ke atas suspek kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berumur 29 tahun dan sebuah lagi motosikal, juga dipercayai motosikal curi dirampas daripada lelaki berkenaan.

"Siasatan kami ke atas kedua-dua suspek, mendapati suspek kedua mungkin ada kaitan dengan Geng Herman iaitu kumpulan pecah rumah dan curi yang tumpas minggu lalu," katanya.

Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah di sini Jumaat.

Antara pengisian program berkenaan termasuk taklimat dan pameran berkaitan usaha pencegahan jenayah.

Ibrahim mengingatkan individu yang ditawarkan motosikal dengan harga rendah dan telah membelinya dinasihatkan supaya memeriksa motosikal berkenaan dan jika ia motosikal curi hendaklah diserahkan kepada polis.

"Memiliki barangan yang tidak diketahui puncanya atau dicuri adalah satu kesalahan dan boleh dituduh di mahkamah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain