suria

AES Kesan Kesalahan Pemandu Mulai September Ini

AES dipasang di Putrajaya untuk proses percubaan.
AES dipasang di Putrajaya untuk proses percubaan.
AES dipasang di Putrajaya untuk proses percubaan.

PUTRAJAYA: Bermula September ini, lebih 1,000 kamera akan memantau keadaan trafik di seluruh negara di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ia merangkumi 566 kamera had laju, 265 kamera lampu isyarat dan 250 kamera bergerak.

Kementerian Pengangkutan adalah pemilik AES manakala agensinya akan bertanggungjawab melaksanakan sistem tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata sistem tersebut telah diuji di lebih 10 lokasi dengan setiap kamera berupaya mengesan kira-kira 600 pesalah setiap hari.

"AES akan mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat. Terdapat imej 12mb untuk menunjukkan masa, tarikh dan lokasi pesalah.

"Sistem tersebut telah mengurangkan kadar kemalangan di negara lain. Kajian menunjukkan bahawa pengguna jalan raya dipengaruhi oleh Persepsi Akan Ditangkap (POBC) iaitu kira-kira 20% di Malaysia manakala yang ideal ialah melebihi 80%," katanya dalam temu bual.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk menempatkan setiap pegawai bagi melakukan pemeriksaan di semua lokasi strategik.

"Sistem tersebut boleh mengimbangi halangan ini," katanya.

Sebaik saja AES digunakan sepenuhnya, pengguna jalan yang ingkar akan menerima saman dalam tempoh dua minggu dari tarikh kesalahan.

AES diserahkan kepada dua syarikat.

"Kami tidak perlu membayar kepada mereka kerana mereka akan menerima potongan saman yang dikeluarkan. Namun peratusannya masih belum ditentukan.

"Syarikat tersebut bertanggungjawab untuk membangun dan menyelenggara sistem itu untuk tempoh lima tahun. Selepas itu, kami akan menentukan sama ada mahu membiarkan mereka meneruskan tanggungjawab itu atau membiarkan mereka membeli sistem itu pada harga RM800 juta," katanya.

Solah berkata, sistem itu akan digunakan untuk mengesan semua kesalahan trafik, bukan hanya membabitkan pemanduan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Artikel Lain