suria

Polis Rampas Mercun, Bunga Api Bernilai RM8,000 Di Bazar Ramadan

KLUANG: Polis merampas lebih 1,000 mercun dan 470 bunga api bernilai RM8,000 dalam satu operasi di dua bazar Ramadan di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis turut menahan empat suspek berusian antara 22 dan 38 tahun kerana menjual barangan berkenaan tanpa permit.

Beliau menambah, kesemua mercun dan bunga api itu dirampas di empat gerai di bazar di bandar Kluang dan Batu 4.

“Kami percaya penjual terbabit menerima bekalan mereka sejak dua bulan lepas dari Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Hanya bunga api seperti ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’ yang dibenarkan untuk dijual tetapi memerlukan permit daripada polis terlebih dahulu,” kata beliau sambil menambah bahawa polis tidak mengeluarkan permit untuk mereka kerana tiada permohonan yang dibuat.

Abdul Majid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli sebarang bunga api kerana ia merupakan satu kesalahan.

Beliau menjelaskan bahawa bermain mercun dan bunga api adalah berbahaya kerana terdapat banyak kes di mana kecederaan berlaku apabila bermain dengannya.

Abdul Majid turut berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Letupan 1957.

“Polis akan meneruskan operasi seumpama ini bagi memastikan tiada sesiapa yang membeli mercun dan bunga api dalam menjaga keselamatan orang awam.

“Kami tidak mahu ada yang kehilangan anggota badan mereka atau nyawa kerana bermain mercun atau bunga api,” kata beliau.

Artikel Lain