suria

Polis Rampas Dadah Pil Erimin 5 Bernilai RM7.9 Juta

KUALA LUMPUR: Polis telah mematahkan sindiket penyeludupan dadah dengan merampas pil Erimin bernilai RM7.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, berdasarkan beberapa maklumat risikan, polis membuat serbuan di sebuah bangunan kedai di Taman Damai Utama, Puchong kira-kira pukul 3 petang pada Selasa.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai premis berkenaan digunakan sebagai tempat untuk menyimpan dadah.

“Tiada sesiapa sewaktu kami membuat serbuan di premis berkenaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Rabu.

Beliau berkata, satu pemeriksaan dilakukan di premis tersebut dan membongkar sebanyak 20 kotak yang mengandungi 395,000 pil Erimin 5.

Noor Rashid berkata, nilai dadah yang dirampas adalah kira-kira RM7.9 juta dan difahamkan untuk diedarkan di seluruh negara.

“Kami mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sedang mengesan anggota sindiket.

“Sejak Januari tahun ini, kami telah merampas sejumlah 4,115,694 pil Erimin 5 bernilai RM80 juta,” katanya.

Beliau menambah, siasatan mendedahkan bahawa dadah sintetik itu diseludupkan melalui jalan laut.

“Jumlah pil yang dirampas pada tahun ini sahaja adalah besar berbanding hanya 87,012 pil yang dirampas pada tahun lepas,” katanya.

Artikel Lain