suria

Pihak Pendakwaan Tarik Balik Rayuan Terhadap Pembebasan Peguam Rosli Dahlan

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan pada Khamis menarik balik rayuan yang dikemukakan terhadap peguam kanan Rosli Dahlan, yang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya.

Permohonan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Mohamad daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin.

Namun tiada alasan yang diberikan Ahmad Sazali. Hakim Mohd Azman merekodkan permohonan pihak pendakwaan bagi menarik balik rayuan itu.

Pada 20 Dis 2010, Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Katar melepas dan membebaskan Rosli daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Rosli, 51, dihadapkan ke mahkamah pada 12 Oktober 2007, atas dakwaan menerima notis seperti yang dikehendaki oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 32(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bertarikh 17 Julai 2007, supaya memberikan pernyataan yang benar dan mendedahkan segala maklumat yang diketahui olehnya.

Maklumat yang perlu didedahkan secara bertulis dengan bersumpah atau berikrar adalah mengenai harta alih atau tidak alih yang dimiliki tertuduh atau harta yang dia mempunyai kepentingan dan segala punca pendapatan, perolehan atau asetnya.

Rosli didakwa telah dengan sengaja tidak mematuhi terma-terma notis tersebut dalam pernyataan bersumpahnya bertarikh 20 Sept 2007, apabila tidak mendedahkan maklumat yang dikehendaki.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya pada 21 Sept 2007, mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

Sementara itu Rosli, yang diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata penarikan balik rayuan itu adalah hadiah ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada bulan ini dan bersyukur kerana pada Ramadan ini kesnya berakhir setelah didakwa di mahkamah, juga pada bulan Ramadan lima tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain