suria

Peniaga Di Perlis Hilang 80 Bilah Pisau, Pedang Samurai

KANGAR: Seorang peniaga kehilangan 80 bilah pisau dan pedang Samurai perhiasan bernilai lebih RM1,500 daripada premis yang dijadikan stor simpanan barang dan tempat tinggal tiga pekerjanya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perlis, Mohd Nashir Ya berkata, peniaga lelaki berusia 37 tahun itu yang menetap di sini menyedari kehilangan barang-barang perniagaannya apabila memeriksa premis berkenaan di Taman Bunga Padi pada 23 Julai lepas.

Beliau berkata, peniaga itu mengesyaki sesuatu apabila tiga pekerjanya yang berumur antara 20 dan 26 tahun yang ditempatkan di situ juga menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Polis menahan seorang pekerja terbabit yang berusia 26 tahun di Langkawi serta dua lagi ditahan di sini, kira-kira empat jam selepas menerima laporan mengenai kehilangan itu.

Seorang daripada mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis, katanya.

"Hasil siasatan juga, polis berjaya menemui semula sebahagian besar barangan yang dilapor hilang itu namun ada di antaranya yang telah dijual," katanya dan memberitahu bahawa polis percaya barangan itu dicuri untuk dijual di pasaran gelap dan bukan untuk kegiatan jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain