suria

Pemimpin Hindraf Pulang Ke Malaysia

JOHOR BAHARU: Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy pulang ke Malaysia pada Rabu selepas meninggalkan negara sejak November 2007.

Beliau memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini pada pukul 12.06 tengah hari dengan pasport yang dikeluarkan kepadanya pada Isnin oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Bercakap kepada pemberita di Austin Hills Golf Resort di sini, Waythamoorthy mendakwa beliau dan penyokongnya ditahan oleh pegawai Imigresen dan pasportnya diambil sebelum diserah semula kepadanya selepas ditanya beberapa soalan.

Katanya beliau akan pulang ke rumahnya di Seremban malam ini.

Waythamoorthy meninggalkan negara sebaik selepas perhimpunan Hindraf pada November 2007 untuk membawa kempen pergerakan itu ke peringkat global.

Pasportnya dibatalkan pada April 2008.

Menjawab satu soalan, Waythamoorthy berkata beliau tidak akan memihak kepada mana-mana parti dalam arena politik negara bahkan Hindraf tidak akan menjadi parti politik.

Beliau menekankan bahawa tugas utama Hindraf ialah untuk memperjuangkan masyarakat India di negara ini. BERNAMA

Artikel Lain