suria

33 Bot Nelayan Asing Ditahan, Didenda Hampir RM6 Juta - APMM

PUTRAJAYA: Sebanyak 33 bot nelayan asing ditahan di perairan negara bagi tempoh Januari-Julai tahun ini, yang menghasilkan kutipan denda hampir RM6 juta.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish berkata, dari jumlah itu Vietnam mencatat angka tertinggi iaitu 29 buah bot, diikuti Thailand (tiga) dan Indonesia (satu).

"Ini mencatatkan penurunan berbanding tahun 2009 iaitu 137 bot, 2010 103 bot manakala tahun lepas sebanyak 69 bot ditahan dengan jumlah paling tinggi direkodkan oleh bot dari Indonesia (31), Vietnam (26), Thailand (10) dan China (dua)," katanya pada majlis penyerahan bingkisan Hari Raya kepada anggota APMM yang akan bertugas semasa cuti Hari Raya Aidilfitri nanti.

Mohd Amdan berkata, pada tahun ini sehingga Jun lepas, kadar jenayah maritim yang direkod ialah 2.9 peratus daripada 13,978 pemeriksaan yang dijalankan, berbanding 4.2 peratus daripada 10,973 pemeriksaan yang dicatat sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, kes-kes berprofil tinggi khasnya aktiviti pelanunan dan rompakan yang melibatkan kapal-kapal dagang di Selat Melaka juga tidak lagi berlaku sejak 2009 kecuali dua kejadian pada tahun lepas.

Bagi tempoh Januari-Jun tahun ini, APMM turut menyelamatkan 238 nyawa, termasuk 30 nelayan tempatan manakala jumlah harta yang diselamatkan bernilai RM449 juta iaitu 98 peratus daripada nilai harta keseluruhan, katanya.

Mengenai rondaan harian dan operasi penguatkuasaan semasa bulan Ramadan, Mohd Amdan berkata ia akan dipertingkat terutama bagi sesetengah kawasan yang dijangka berlakunya aktiviti perlanggaran undang-undang seperti kemasukan pendatang tanpa izin, penyeludupan mercun dan barangan kawalan bersubsidi.

Beliau berkata, pemeriksaan keselamatan terhadap bot dan feri turut diberi perhatian terutama menjelang Aidilfitri kerana ramai yang akan menggunakan pengangkutan itu untuk pulang ke kampung halaman.

"Tindakan ini bertujuan mengingatkan pengusaha bot dan feri penumpang agar mematuhi amalan-amalan keselamatan bagi mengelak berlakunya kehilangan nyawa dan harta benda di perairan negara.

"Dalam masa yang sama, APMM meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan kes penyeludupan dan jenayah maritim atau bencana di laut dengan segera ke hotline 999 atau 03-8943 4001 atau 03-8941 3140," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain