suria

Syukuri Keamanan Negara - PM

RAUB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bersempena Ramadan yang mulia ini, rakyat perlu menadah tangan bersyukur ke hadrat Illahi atas nikmat keamanan negara.

Beliau berkata nikmat keamanan dan kemakmuran adalah hasil pengorbanan para pahlawan negara dan hasil daripada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Perdana Menteri berkata banyak dugaan yang terpaksa diharungi negara dan kerajaan dan juga darah pahlawan yang mengalir untuk mewujudkan suasana aman dan tenteram yang dinikmati sekarang.

"Saya tidak boleh jamin pakatan pembangkang boleh tunaikan (dalam soal keamanan), soal perlembagaan pun tak sepakat...ini memberi persoalan yang besar, adakah pembangkang boleh beri jaminan keharmonian?," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat daerah Raub yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di padang awam Kampung Gali Tengah, di sini, Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Ketua Umno Bahagian Raub Datuk Shaharuddin Ab Moin.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana aman dan makmur, malah kemakmuran negara ini menjadi tumpuan rakyat negara lain untuk mencari rezeki dan katanya terdapat dua juta pekerja asing yang berdaftar di negara ini.

"Ketika ini di negara-negara lain termasuk negara Eropah, kadar penggangguran telah meningkat, di Eropah misalnya pengangguran 25 peratus, di negara Sepanyol 45 peratus, di Malaysia kita tidak ada masalah pekerjaan, cuma orang kita memilih pekerjaan, kalau nak kerja tak jadi masalah," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan pembinaan cawangan Universiti Teknologi Mara di Raub dengan kos RM230 juta yang bakal dibina tidak lama lagi.

Perdana Menteri kemudiannya menunaikan solat Maghrib dan kemudiannya solat Isyak dan solat sunat Tarawih. BERNAMA

Artikel Lain