suria

Pekerja Kilang Cedera Dikelar Suami

NIBONG TEBAL: Seorang operator kilang cedera di leher dipercayai dikelar oleh suaminya selepas mereka bertengkar di rumah wanita berkenaan di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa R. Saraswati, 36, berada di rumah bersendirian sebelum didatangi suaminya dan berlaku pertengkaran.

"Mereka memang tinggal berasingan dan pergaduhan itu dipercayai berlaku berikutan hak penjagaan anak pasangan terbabit iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dan adik lelakinya berusia lapan tahun yang kini dijaga oleh keluarga wanita berkenaan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah bernasib baik kerana bapanya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya pergi ke rumah wanita berkenaan selepas 45 minit kejadian itu dan membawanya ke Hospital Sungai Bakap selepas mendapati anaknya berlumuran darah" katanya kepada pemberita di sini.

Katanya mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Seberang Jaya. Shafien berkata polis kini sedang memburu suami mangsa yang dikenali sebagai N. Premananth, 41, bagi membantu siasatan kerana melarikan diri selepas kejadian itu. Premnath dipercayai masih berada di negeri ini kerana keluarganya berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang.

Beliau meminta sesiapa yang mengenali lelaki itu agar menghubungi Insp K.Komathi di talian 012-9448519 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain