suria

Lajim Enggan Ulas Pembatalan Pelantikan Jawatan Timbalan Menteri

KOTA KINABALU: Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin enggan mengulas buat masa ini isu berkaitan pembatalan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berkuatkuasa serta merta.

"Saya belum komen apa-apa dahulu...nanti pada masa yang sesuai saya akan buat kenyataan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini Selasa.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ini mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta. Lajim bagaimanapun berkata beliau masih kekal sebagai anggota Umno.

Sementara itu, setiausaha Barisan Nasional Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan, dalam reaksi segera berikutan pembatalan pelantikan Lajim itu berkata tiba masanya satu tindakan diambil terhadap Lajim.

"Apa yang diputuskan oleh Agong adalah betul. Sesuatu perlu dibuat. Sekarang Perdana Menteri perlu meneliti senario keseluruhan, sama ada hendak membiarkan jawatan itu dikosongkan atau mengisinya," katanya.

Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata tindakan seterusnya ialah untuk "memecat Lajim daripada Umno".

Katanya, Lajim tidak sepatutnya menentang parti tetapi kekal sebagai ahli.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun pula berkata keputusan Najib itu merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik atau membatalkan jawatan seseorang dalam kabinetnya.

Di Kuala Lumpur, beberapa pemimpin BN pusat berkata pemecatan Lajim sebagai timbalan menteri wajar dan selaras dengan keputusan beliau meletak jawatannya dalam Umno dan BN.

Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Lajim sebenarnya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memecatnya supaya rakyat terutamanya dari Sabah akan lebih bersimpati terhadapnya.

"Saya sebagai pemimpin Umno dari Sabah merasakan tindakan (pembatalan pelantikan) itu sebagai sesuatu yang wajar kerana beliau (Lajim) telah memalukan parti dengan tindakannya dan seorang pemimpin yang tidak tahu mengenang budi," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata walaupun isu ini isu setempat, ia tidak harus diambil ringan.

"Apa yang lebih penting kini bagi BN Sabah ialah memantapkan lagi pertahanan dan kesediaan jentera pilihan rayanya," katanya.

Sementara itu, Presiden PPP Datuk M.Kayveas berkata Lajim sepatutnya tinggal kekal dan hadapi situasi dengan tegas dan yakin dalam BN, walaupun keadaan di pihak sebelah kelihatan lebih menarik.

Kayveas berkata seseorang pemimpin tulen BN akan sentiasa kekal bersama, dan mencari penyelesaian terhadap apa jua kekurangan parti, agar parti dapat terus memberi khidmat kepada negara dan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung menyifatkan Lajim sebagai seorang pemimpin berkebolehan yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang menjadi timbalan menteri.

"Malangnya, beliau telah memilih meninggalkan kita (BN)," kata Chor.

Chor yang juga naib-presiden MCA berkata perkembangan terbaru itu tidak mengejutkan oleh kerana beliau yakin kekuatan BN terutama di Sabah tidak tergugat sekalipun dua daripada pemimpinnya keluar parti.

Selain Lajim, timbalan presiden UPKO yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing turut mengumumkan keluar dari BN hujung minggu lepas untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Menyentuh jawatan timbalan menteri yang kosong, Chor berkata, terpulang kepada Perdana Menteri sama ada hendak melantik timbalan menteri baru.

Beliau berkata, jika tiada pelantikan baru dibuat, beliau akan mengendalikan tugas dan tanggungjawab yang ditinggalkan Lajim.

"Saya akan dapat lakukannya dengan bantuan pegawai-pegawai kanan kementerian yang berkebolehan," kata Chor. - BERNAMA

Artikel Lain