suria

Kilang Alkohol Terbakar, Rugi RM500,000

BUTTERWORTH: Sebuah kilang di Jalan Perusahaan 1, Prai di sini kerugian lebih RM500,000 selepas tempat memproses alkohol di tingkat empat premis berkenaan terbakar malam Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, A'azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan pada 9.46 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira dua minit selepas itu.

"Ketika kita sampai, api sedang marak di tingkat empat bangunan lima tingkat berkenaan dan tempat itu merupakan kawasan memproses alkohol," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira lima belas minit untuk mengawal kebakaran dari merebak ke tingkat lain dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10.21 malam.

Katanya, seramai tiga pegawai dan 22 anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Perda terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran berkenaan, serta turut dibantu pasukan bomba sukarela.

A'azelan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu kerana semua pekerja yang sedang bertugas berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian kebakaran itu. - BERNAMA

Artikel Lain