suria

Isu Air: Selangor Akan Adakan Forum Awam

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan forum awam mengenai krisis air di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu berkata, forum itu akan menjemput semua jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan penerangan yang sebenar mengenai masalah air Selangor.

"Jabatan Meteorologi telah memaklumkan bahawa sepanjang bulan Ogos hingga Oktober taburan hujan di seluruh negara termasuk Selangor adalah sekata dan ini bermakna krisis tidak cukup bekalan air di empangan atau loji rawatan air adalah tidak benar.

"Pakar-pakar kita akan memberikan gambaran dan situasi sebenar air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sementara itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu akan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki milik mereka ke 11 kawasan di Balakong dan dua kawasan di Subang Jaya.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dan kos ini kita akan minta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bayar sebab mereka tak jalankan tugas dengan efisien.

"Bukan itu sahaja, berdasarkan lawatan kita ke kolam simpanan air di Balakong mendapati hampir semua kolam tersebut tidak dijaga dan ada yang rosak," katanya.

Beliau menegaskan tindakan tersebut menyebabkan Syabas tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Banyak kolam air ini tidak diselenggara dengan baik. Kebanyakkannya tidak mempunyai pam air dan motor telah rosak, bukan itu sahaja pintu pagar pun hilang, ini sangat membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa Syabas mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kolam air yang terjejas kerana sumber air sangat penting dalam kehidupan seharian.

"Esok PBT akan buat laporan polis berhubung sikap lepas tangan Syabas terhadap kolam air yang terbiar ini. Kita bimbang ada pihak yang cuba sabotaj dengan tuang racun atau apa sahaja di kawasan kolam air yang tidak berpagar ini.

"Mereka (Syabas) sepatutnya ganti motor dan pam yang rosak supaya bekalan air di kawasan yang terjejas mencukupi," katanya.

Artikel Lain