suria

Calon Gagal Kemuka Jumlah Perbelanjaan Tidak Layak Bertanding - SPR

KUCHING: Parti-parti politik diingatkan bahawa calon pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas akan lucut kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya Parlimen akan datang di negeri ini jika mereka gagal mengemukakan jumlah perbelanjaan pilihan raya mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada Rabu berkata adalah menjadi tanggungjawab parti-parti politik untuk memeriksa perkara itu dengan SPR untuk mengelak mencalonkan atau memilih sesoerang yang tidak layak sepertimana ketetapan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

"Sekarang ini, kita (SPR) mahu maklumkan kepada orang ramai terlebih dahulu bahawa jika seseorang itu gagal mengemukakan jumlah perbelanjaan itu, dengan itu mereka tahu akan akibatnya," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat kepada pemimpin parti-parti politik dan wakil media mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13, yang boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang sehingga Jun tahun depan.

Turut hadir Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan beberapa anggota SPR.

Mengenai pelantikan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau bagi memastikan kelancaran pilihan raya umum akan datang, katanya sembilan NGO di Sarawak empat daripadanya di Miri, tiga di Kuching dan dua di Sibu telah dikenal pasti kerana mereka memenuhi syarat SPR iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti dalam menjalankan kerja mereka.

Beliau berkata SPR memberi keutamaan kepada NGO setempat kerana mereka lebih arif dengan sensitiviti dan adat resam setempat tetapi pemerhati asing juga akan dijemput, terutamanya daripada negara anggota Asean.

Bagaimanapun, SPR telah memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada Mafrel (Malaysians for Free and Fair Elections) berikutan banyak aduan diterima daripada parti-parti politik yang mendakwa badan itu tidak bersikap berkecuali, katanya.

Katanya Mafrel juga gagal mematuhi sepenuhnya syarat SPR termasuk tidak menyerahkan laporannya selepas dilantik pada pilihan raya umum 2008.

Walaupun Sarawak mempunyai 1,051,190 pengundi berdaftar, menjadikannya yang keempat terbanyak daripada segi jumlah pengundi selepas Selangor, Johor dan Perak, dianggarkan kira-kira 300,000 pengundi yang layak masih belum berdaftar untuk melaksanakan hak mereka untuk mengundi, katanya. BERNAMA

Artikel Lain