suria

Polis Tahan 11 Lelaki Dipercayai Terlibat Sindiket Curi Lori

IPOH: Polis menahan 11 lelaki, lima daripadanya warga asing, dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket mencuri lori dalam beberapa serbuan di ladang kelapa sawit di Lekir, Sitiawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata mereka yang berumur antara 30 hingga 58 tahun itu ditahan sejak 17 Julai lepas hingga Isnin.

Katanya polis turut merampas 17 buah lori seberat satu hingga tiga tan bernilai RM600,000 di ladang berkenaan.

"Mereka yang ditahan termasuk pemilik kilang, pemilik ladang kelapa sawit dan orang tengah yang didapati dipercayai menjual lori kepada pemilik ladang dan kilang," katanya ketika dihubungi Selasa.

Beliau berkata antara lori yang dirampas ialah jenis Mitsubishi, Daihatsu, Hicom dan Isuzu yang dilaporkan dicuri di Selangor dan Kuala Lumpur dengan nombor pendaftaran palsu selain nombor enjin dan casis dikikis.

Dzuraidi berkata lori itu dikumpulkan di ladang kelapa sawit Lekir oleh orang tengah untuk dijual dengan harga RM6,000 hingga RM10,000.

Katanya polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek termasuk ketua sindiket berkenaan yang dipercayai menghilangkan diri selepas serbuan itu.

"Polis percaya dengan tangkapan ke atas mereka, kegiatan sindiket berkenaan yang bermula sejak 1999 berjaya ditumpaskan," katanya.

Mereka yang ditahan, direman seminggu untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain