suria

Pengurus Ladang Getah Maut Ditembak

KOTA BAHARU: Seorang pengurus ladang getah mati ditembak di luar rumah kongsi yang didiaminya di Ladang Gemang 5, Jeli, awal pagi Selasa.

Mayat Tuan Asmadi Tuan Ya, 38, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh empat Orang Asli yang bekerja di ladang itu pada pukul 1 pagi.

Dalam kejadian antara pukul 11.30 malam dan 12 tengah malam itu, mangsa maut selepas tembakan yang dilepaskan seorang suspek mengenai bawah mata sebelah kiri hingga menembusi ke belakang kepalanya, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

"Ketika kejadian, mangsa bersama isteri kedua dan seorang anaknya berada di rumah kongsi berkenaan. Ketika mangsa keluar mahu mengambil telefon di luar rumah, isteri mangsa yang berada dalam bilik terdengar satu bunyi letupan.

"Selepas keluar daripada bilik dan melihat suaminya terbaring berlumuran darah, isteri mangsa bersama anaknya yang ketakutan terus melarikan diri untuk bersembunyi dalam hutan sehingga empat pekerja mereka pulang ke rumah kongsi itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Selasa.

Jalaluddin berkata polis menerima aduan berhubung kes itu daripada abang ipar mangsa pada pukul 3.15 pagi berikutan kesukaran mendapatkan talian telefon bimbit serta ladang berkenaan yang terletak kira-kira lima kilometer daripada jalan besar.

"Hasil siasatan turut menjumpai satu kelongsong peluru yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam semak berhampiran rumah kongsi itu.

Tembakan itu juga menembusi tiga buah bilik rumah kongsi berkenaan.

"Setakat ini, kami mengenalpasti dua suspek rakyat tempatan dan usaha mengesan mereka terus dijalankan. Kami percaya mangsa turut mengenali kedua-dua suspek," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi bilik gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain