suria

Pencegahan Awal Perlu Bagi Kekalkan Masjid Bebas Politik - Sultan Selangor

BESTARI JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah pencegahan awal menjadikan masjid kekal bebas berkecuali daripada segala pengaruh politik dan mana-mana pihak berkepentingan amat perlu bagi menjamin kesejahteraan serta perpaduan di kalangan umat Islam.

Justeru itu, titah baginda anggota jawatankuasa masjid dan surau di negeri itu diingatkan supaya menggunakan imam dan pensyarah jemputan bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor kerana kedua-dua tempat ibadah itu suci bagi mendekatkan diri dengan Allah dan bukannya tempat penyebaran ideologi politik.

"Beta tidak mahu melihat orang Melayu bergaduh dan berpecah sesama sendiri," titah baginda pada perasmian Masjid Rantau Panjang di sini, Selasa.

Masjid itu dibina pada 2009 dengan kos RM4.6 juta dan mula digunakan penduduk kampung itu dan Sungai Berdarah sejak 2 Ogos tahun lepas.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai Ketua Negeri, baginda tidak akan membiarkan adanya anasir yang merosakkan bangsa Melayu dan agama Islam, malah akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di negeri itu.

Baginda juga menyeru rakyat Melayu di Selangor supaya bersatu-padu dan tidak berbalah antara satu sama lain disebabkan ideologi politik yang berbeza.

"Kita orang Melayu harus bersatu padu dengan satu agama iaitu agama Islam. Beta kecewa dan sedih jika rakyat Melayu di Selangor berpecah-belah disebabkan pendapat politik yang berlainan," titah baginda.

Sultan Selangor turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terlalu mengikut emosi dan cepat terpengaruh dengan hasutan yang tidak memberi keuntungan serta manfaat kepada diri sendiri, masyarakat, bangsa dan agama.

"Di kesempatan ini juga sukacitanya beta mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat beta yang peka dan prihatin terhadap usaha mengekalkan keamanan dan kedamaian di Selangor walaupun terdapat beberapa golongan yang cuba mencetuskan provokasi yang tidak diingini," titah baginda.

Baginda juga bertitah rakyat Selangor juga boleh berfikir secara waras sebelum membuat sesuatu keputusan dan dapat membezakan perkara baik atau buruk bagi memastikan negeri itu terus membangun dan rakyatnya yang berbilang kaum akan terus bersatu padu serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

"Beta yakin sekiranya seluruh rakyat Selangor dapat bekerjasama dan hidup dengan bertoleransi serta memahami antara satu sama lain, Insya-Allah segala cabaran dan masalah yang timbul dapat kita hadapi dengan baik dan sempurna serta mencapai kejayaan yang diimpikan," titah baginda.

Pada majlis tersebut, Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor berjumlah RM200,000 yang disampaikan Pengurus Besar Kumpulannya, Ali Ahmad.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 514 golongan kurang berkemampuan termasuk 207 asnaf miskin, 141 anak yatim dan 125 asnaf mualaf. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain