suria

Pecah Rumah: Polis Tumpas 'Geng Herman' & 'Geng Ah Kiong'

TAWAU: Polis di sini percaya berjaya menumpaskan dua kumpulan curi dan pecah rumah yang dikenali sebagai 'Geng Herman' dan 'Geng Ah Kiong' apabila lapan anggota kedua-dua kumpulan berkenaan diberkas dalam dua kes berasingan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata berikutan kejayaan itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan berlaku di daerah berkenaan sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata nilai 39 jenis barangan yang ditemui semula daripada kedua-dua kumpulan berkenaan belum dapat ditentukan dan polis percaya ada di antara barangan yang dicuri kumpulan itu sudah dijual atau dilupuskan.

"Kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas polis menyerbu sebuah premis di sebuah flat di Jalan Baru Fajar pada 23 Julai lalu setelah pihak polis mengesan suspek yang terlibat memecah masuk kedai salon kecantikan di kawasan bandar Tawau, bersembunyi di sana.

Menurut Ibrahim siasatan awal mendapati kelima-lima suspek berumur antara 24 dan 37 tahun itu merupakan anggota kumpulan Geng Herman yang dipercayai terlibat memecah masuk sebuah salon kecantikan pada 22 Julai lalu ketika pemilik premis perniagaan berkenaan sedang bercuti.

Menurut Ibrahim, Geng Ah Kiong pula berjaya ditumpaskan selepas tiga anggota kumpulan berkenaan yang berumur antara 26 hingga 32 tahun, termasuk seorang wanita, berjaya diberkas pada 24 Julai lalu hasil maklumat yang diterima.

Menurut Ibrahim kedua-dua geng pecah rumah dan curi berkenaan tidak ada kaitan antara satu dengan lain namun masih ada saki-baki anggota kedua-dua kumpulan itu yang masih bebas dan sedang diburu pihak polis.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Ibrahim juga menasihatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa pecah rumah dan curi supaya datang ke IPD Tawau untuk membuat pengecaman barangan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain