PUTRAJAYA: Pakar keselamatan dari empat negara telah dijemput untuk berkongsi pengetahuan mereka mengenai pendekatan mengawal orang ramai dengan panel penasihat bebas Bersih 3.0.Panel tersebut telahpun menemui wakil suruhanjaya tinggi dan kedutaan dari Pakistan, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bagi membincangkan untuk membawa pakar-pakar dari negara mereka dalam perbincangan meja bulat. Pengerusi Panel, Tun Hanif Omar berkata, antara isu yang dicadangkan sebagai perhatian ialah cara setiap negara berkenaan mengendalikan perhimpunan dan demonstrasi awam; rangka kerja undang-undang yang menguruskan kawalan orang ramai; peralatan yang digunakan oleh pihak berkuasa; pengendalian demonstrasi secara aman dan perlindungan terhadap media.“Kami mahu mengetahui bagaimana mereka diperbadankan kepada undang-undang majlis perbandaran mereka sendiri dan prosedur operasi standard oleh pengamal (keselamatan).“Perbincangan meja bulat ini akan membantu panel kerana sebahagian daripada terma rujukan kami adalah mengesyorkan apa yang lebih sesuai (sistem) untuk polis mengamalkannya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat panel kesembilan.Panel itu turut mendengar keterangan daripada 10 saksi dalam separuh masa mesyuarat itu berlangsung, antaranya daripada jurukamera Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh yang mengalami beberapa kecederaan apabila dia dikasari sekumpulan perusuh.Hanif berkata, Mohd Azri mengesahkan bahawa dia diserang oleh penunjuk perasaan yang bertindak liar apabila dia cuba untuk menyelamatkan seorang anggota polis yang tidak sedarkan diri selepas ditarik keluar daripada kemalangan kereta polis.Beliau menambah, Mohd Azri turut menafikan dakwaan bahawa seseorang telah dihempap di bawah kereta yang berlanggar ke sebuah dinding gedung membeli-belah di Jalan Raja Laut.Panel tersebut turut mendengar keterangan jurukamera Makkal Osai, P. Malayanadi, yang mendakwa dia dikasari oleh lima anggota polis ketika mengambil gambar penunjuk perasaan yang terkena gas pemedih mata dan tembakan ‘water cannon’.Hanif berkata, Malayani mendakwa anggota polis yang terbabit terus memukulnya walaupun selepas dia memperkenalkan dirinya sebagai jurukamera media, dan dia kehilangan peralatan kamera bernilai RM7,000 dalam kekecohan itu.Terdahulu pada pagi Isnin, panel berkenaan mendengar keterangan daripada dua pegawai kanan Prasarana yang menafikan dakwaan bahawa polis mengarahkan mereka untuk menghentikan operasi di Stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni.Hanif berkata, pegawai tersebut memberitahu panel bahawa keputusan penutupan itu dibuat oleh pengurus stesen atas faktor keselamatan.Beliau berkata, mereka bimbang keadaan yang tidak terkawal itu akan secara tidak sengaja akan menolak orang ramai ke rel elektrik.