suria

Membela Nasib Melayu Kejayaan Terbesar Felda - Rais

JELEBU: Membela nasib masyarakat Melayu khasnya tanpa meminggirkan hak kaum lain merupakan antara kejayaan terbesar yang dilakar Felda, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Justeru, beliau berkata perjuangan dalam memastikan survival bangsa Melayu terutamanya daripada aspek ekonomi tidak wajar dipertikai mana-mana pihak.

"Dalam landskap sosio-politik negara kini, pihak yang enggan mengakui hakikat kejayaan Felda telah menjadikannya sebagai polemik politik," katanya pada majlis berbuka puasa Parlimen Jelebu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui di Masjid Felda Lui Muda, di sini Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata peneroka termasuk penerokawati serta golongan belia di kawasan Felda perlu memainkan peranan menangkis dakyah pihak tertentu sekaligus dapat menjayakan agenda transforamsi yang dilaksanakan.

Katanya Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Rancangan (JKKR) Felda juga perlu melakukan pemantauan masalah sosial di kawasan Felda dan menganalisa kejayaan serta pembangunan yang diperoleh masyarakat Felda bagi menangkis semua tuduhan yang dilemparkan terhadap agensi itu.

Beliau berkata JKKR Felda juga perlu melipat gandakan usaha dalam mengenal pasti peneroka atau anggota keluarga tanah rancangan itu yang masih memerlukan bantuan.

"Kalau kita tanya misalnya berapa graduan yang berkhidmat di luar kawasan, di kawasan Felda ini berapa buah kereta ada, ini mesti kita intisarikan kerana ini adalah hasil perjuangan kita," katanya.

Pada majlis itu, Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu turut menyampaikan durian runtuh kepada peneroka Felda yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, bagi fasa kedua berjumlah RM1.65 juta kepada 213 isteri peneroka.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM110,000 sebagai peruntukan pembinaan dewan orang ramai di Felda Lui Timur dan bantuan membaiki masjid serta surau di kawasan DUN Sungai Lui yang berjumlah RM1,000 sebuah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain