suria

Mahkamah Tolak Rayuan NUBE Agar Pertikaian Dengan BCB Didengar Semula

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) gagal dalam usahanya untuk mendapatkan pendengaran semula pertikaian kesatuan itu dengan sebuah bank di Mahkamah Perusahaan, yang didakwa tidak cukup kuorum ketika memutuskan kes tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang diketuai Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, sebulat suara menolak rayuan NUBE dan memerintahkan kesatuan itu membayar kos perundangan sebanyak RM10,000 kepada Bumiputera Commerce Bank Bhd, kini dikenali sebagai CIMB.

Terdahulu, peguam V.Kamini yang mewakili NUBE berkata Mahkamah Rayuan perlu mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Perusahaan untuk didengar semula kerana terdapat kekurangan kuorum apabila mahkamah tersebut tidak menerima pandangan bertentangan anggota panel yang mewakili pekerja, iaitu K.Brabakarun.

Peguam Wong Keat Ching yang mewakili bank itu pula berkata tidak terdapat kegagalan kuorum dalam kes tersebut kerana Pengerusi Mahkamah Perusahaan Ong Geok Lan serta dua anggota panel yang masing-masing mewakili majikan dan pekerja, hadir sepanjang prosiding, termasuk ketika kedua-dua pihak berhujah secara lisan.

Ong dibantu Ter Akau yang mewakili pihak majikan dan Brabakarun.

Wong berkata Mahkamah Perusahaan dalam suratnya kepada Mahkamah Tinggi menyatakan terdapat banyak perbincangan diadakan dengan anggota panel, dan ia berlangsung dalam suasana harmoni.

"Tidak ada afidavit di Mahkamah Tinggi daripada anggota panel yang mewakili pekerja (K.Brabakarun) bagi memperjelas apakah pandangannya yang dikatakan bertentangan itu," katanya.

Menteri Sumber Manusia merujuk pertikaian itu kepada Mahkamah Perusahaan apabila NUBE menuntut bank tersebut membayar bonus prestasi serta menyeragamkan cuti haji yang diberi kepada anggota kesatuan dan pegawai bank beragama Islam.

Pada 17 April 2009, Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan NUBE menyebabkan kesatuan itu memfailkan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan itu, namun ditolak Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain