suria

Mahkamah Tolak Rayuan Bekas DPP Terhadap Sabitan Kes Cuba Lupus Kereta Curi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak rayuan seorang bekas timbalan pendakwa raya terhadap sabitan ke atasnya yang didapati bersalah cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad bagaimanapun meminda hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan ke atas Lukman Zainuddin, 39, oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 3 Disember 2010 iaitu daripada hukuman penjara 12 bulan kepada lapan bulan.

Bagi denda pula, Nurchaya menaikkan jumlahnya daripada RM2,000 kepada RM20,000.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan Zainuddin untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan memberi tempoh sehingga Isnin ini untuk Zainuddin membayar denda.

Sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara empat bulan.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika mensabitkan Zainuddin dengan pertuduhan itu.

Beliau juga berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Lukman yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya antara 1997 hingga 2002 didakwa cuba melupuskan sebuah kereta BMW 318 (i)(A) bernombor pendaftaran ADT 6677 di Pangsapuri Putra Harmoni di Precint 9, Putrajaya, antara 11 malam 24 Mac 2006 hingga 12.15 pagi, 25 Mac 2006.

Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Lukman diwakili peguam Mohd Yunos Shariff sementara Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff hadir bagi pihak responden. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain