suria

Kos Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor Lebih Rendah: Peter Chin

PUTRAJAYA: Kos Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dianggarkan RM6.225 bilion dan bukannya RM8.56 bilion seperti dakwaan pembangkang.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata skim itu dibahagikan kepada dua projek iaitu Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Langat 2.

Beliau berkata kos pembinaan PPAMPS yang melibatkan pembinaan terowong dan 'intake point' dari Pahang ke Sungai Langat ialah RM2.481 bilion dan menurutnya projek itu sudah 50 peratus siap manakala tender projek Langat 2 yang dianggarkan bernilai RM3.744 bilion akan dibuka dalam sebulan lagi.

"Kos Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor sebenarnya adalah lebih rendah berbanding dakwaan pihak pembangkang. Pembangkang tidak harus mengelirukan rakyat dengan angka dan fakta yang tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga KeTTHA dan agensi-agensi di bawah kementerian itu di sini Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Chin berkata Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-Isu Air Selangor akan bermesyuarat pada Khamis ini untuk memutuskan sama ada tender projek Langat 2 akan dibuka kepada syarikat antarabangsa atau tempatan.

Beliau berkata projek Langat 2 akan dilaksanakan secara tender terbuka kepada semua syarikat berkelayakan dalam tempoh sebulan lagi.

"Pihak kementerian, Jabatan Bekalan Air, jurutera, jururunding sedang dalam proses menyediakan tender. Tiada wujud keadaan tender itu akan diberikan kepada kroni (Barisan Nasional)," katanya.

Sementara itu, Chin menegaskan dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai kapasiti 34 loji rawatan air di Selangor yang mampu mengeluarkan sehingga 4,809 juta liter sehari (JLH), adalah tidak tepat.

"Kesemua loji tersebut hanya mampu mengeluarkan kapasiti maksimum sebanyak 4,581 JLH sehari berdasarkan reka bentuk (loji) yang dibuat oleh pakar sebelum ini.

"Jika loji tersebut mengeluarkan lebih kapasiti, ia hanya akan membawa kerosakan kepada mesin," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain