suria

Hutang Talam: MCA Dakwa Kerajaan Selangor Berbohong Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR: MCA pada Selasa mendakwa kerajaan negeri Selangor berbohong dan saling memberikan kenyataan bercanggah dalam isu pelupusan hutang Talam Corporation Berhad.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata berdasarkan 'handsard' persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2010 dan 2011 tiada pendedahan berkenaan dengan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu berkaitan dengan pemilihan dan penilaian aset-aset yang masih mengikat kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

"Hakikatnya berdasarkan perjanjian bertarikh 8 Mac 2007, tempoh sah laku perjanjian penyelesaian hutang dengan Talam itu adalah sehingga 8 Mac 2008.

"Oleh itu, kerajaan Selangor dan Talam menandatangani perjanjian baru pada 2010, maka mereka tidak terikat dengan perjanjian yang bertarikh 8 Mac 2010, termasuklah tanah atau harta tanah serta penilaian yang telah dibuat," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat MCA Jalan Ampang pada Selasa.

Beliau berkata, satu perjanjian baru telah ditandatangani antara Talam dan kerajaan Selangor pada 12 Mac 2010 dan Talam dikehendaki mendapa persetujuan daripada pemegang sahamnya membuktikan bahawa perjanjian yang ditandatangani sebelum ini telah tamat tempoh sah laku.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok mendakwa kerajaan PR terikat dengan perjanjian yang ditandatangani antara Talam dan kerajaan negeri terdahulu apabila mengadakan penyelesaian hutang dengan Talam.

Beliau turut mendedahkan perjanjian perjanjian penyelesaian hutang pertama yang didakwa ditandatangani pada 29 Julai 2005 dan perjanjian tambahan yang ditandatangani pada 8 Mac 2007.

Mengulas lanjut, Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata tindakan Teresa mendedahkan perjanjian tersebut kepada pengetahuan awam telah membuktikan kerajaan PR Selangor selama ini menipu dan berbohong kepada rakyat.

"Jadi kita sangat mengalu-alukan supaya Teresa mendedahkan perjanjian bertarikh 29 Julai 2005, 12 Mac 2006 dan 8 Mac 2007 untuk tatapan umum bagi membuktikan bahawa perjanjian-perjanjian ini masih lagi sah apabila kerajaan PR Selangor menandatangani perjanjian baru dengan Talam pada 2010.

"Jika tidak dakwaan Teresa yang mengatakan kerajaan PR Selangor terikat dengan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan BN sebelum ini adalah tidak benar, mengelirukan dan ia hanya bertujuan untuk memutar belitkan fakta," katanya.

Beliau berjata, sehingga hari ini kerajaan PR Selangor masih tidak dapat memberi penjelasan tentang penilaian harga yang lebih tinggi untuk tanah di Bestari Jaya, tanah di Danau Putra yang merupakan tapak bekas lombong, unit pejabat yang sukar untuk dijual di Menara Pandan dan Ukay Perdana.

"Saya lihat pendedahan tentang perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan BN terdahulu merupakan tindakan terdesak oleh kerajaan Selangor bagi mengalihkan isu ini dan menjadikan BN sebagai kambing hitam.

"Saya juga yakin DAP akan mematahkan kenyataan saya dengan menggunakan cara memutar belitkan dengan mendedahkan maklumat yang tidak lengkap, tapi ingin saya nasihatkan kepada mereka agar menyemak kenyataan mereka terlebih dahulu supaya mereka tidak terperangkap dengan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain atau berbohong,” katanya.

Bukan itu sahaja Tee Yong berkata, kerajaan PR Selangor dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua telah berulang kali menyebut kerajaan BN terdahulu tiada usaha dilakukan untuk mengutip semula hutan daripada Talam dan jumlah hutan itu sengaja disembunyikan.

Ahli Parlimen Labis itu turut menasihati pemimpin DAP agar bercakap benar sekiranya mereka tidak dapat mengingati apa yang ingin mereka katakan.

Berdasarkan pendedahan sebelum ini, Tee Yong mendakwa pembelian tanah di Bestari Jaya bernilai RM42 juta hingga RM100 juta berdasarkan kepada penilaian Talam atau Kumpulan sementara tanah di Danau Putra bernilai RM57 juta dan Menara Pandan bernilai RM1.89 juta, kedua-duanya berdasarkan harga lelong dan kemungkinan berlaku terlebih bayar antara RM101 hingga RM158 juta masih tidak dijawab oleh kerajaan Selangor.

"Macam mana berlaku penilaian yang lebih tinggi antara RM101 hingga RN158 juta boleh dihujahkan sebagai keuntungan RM9 juta adalah satu cara inovatif kerana sehingga hari ini kerajaan PR Selangor masih tidak mendedahkan sama ada penilaian telah dilakukan oleh kerajaan negeri atau tidak," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain