suria

Tukang Jahit Bertemu Keluarga Sebelum Dibawa Ke Hospital Bahagia

SERDANG: Seorang tukang jahit yang mengaku bersalah mencederakan anak lelaki dan membakar rumahnya pada Isnin dibenarkan bertemu anaknya itu sebelum dibawa ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak untuk menjalani pemeriksaan mental atas perintah mahkamah.

Wong Way Kok, 53, diarah menjalani pemeriksaan itu oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Jumaat lepas, setelah mengaku bersalah membakar rumahnya di Taman Serdang Utama dan mencederakan tangan kiri, Wong Zi Gen, 15, dengan pisau pemotong sayur pada 22 Julai lepas.

Pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini diatur oleh penyelaras Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong. Liew berkata Wong ingin bertemu anak bongsunya itu bagi mengetahui keadaannya selepas kejadian itu dan difahamkan semua anggota keluarga telah memaafkan Wong atas perbuatannya itu.

Pertemuan dibuat bagi memberi semangat kepada isteri Wong, Soo Yik Yeng, 49, dan empat anak mereka yang berhadapan cemuhan masyarakat ekoran insiden itu hingga terpaksa berpindah ke rumah mertuanya di Serdang.

Soo mengucapkan terima kasih kepada Liew kerana menguruskan pertemuan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain