suria

Polis Rampas 28 Set Komputer Dalam Operasi Banteras Judi Online

KUANTAN: Polis merampas 28 set komputer bernilai RM28,000 yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam dua operasi yang diadakan di Jalan Teluk Baru dan Jalan Haji Ahmad di sini, Ahad.

Dalam operasi tersebut polis turut menahan 11 orang kaki judi termasuk penjaga premis kafe siber berkenaan.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata dua premis yang diserbu terbabit didapati menyalahgunakan lesen kafe siber serta dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram di bandar ini.

"Ketika serbuan pertama dilakukan di kafe siber dekat Jalan Haji Ahmad pada 12.45 malam semalam penjaga premis, 34, berada di kaunternya manakala tiga pelanggan berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun, sedang asyik bermain komputer dengan aktiviti perjudian terpapar pada skrin komputer terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya polis juga merampas lapan set komputer dengan anggaran bernilai RM8,000 di premis terbabit.

Dalam serbuan kedua di Jalan Teluk Baru, 23 set komputer anggaran bernilai RM23,000 turut dirampas manakala penjaga premis berusia 21 tahun dan enam pelanggannya, 28 hingga 48 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Semua kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(b) Enakmen Hiburan 1993, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain