suria

Polis Johor Tahan Tiga Lelaki Samun Rumah Pegawai Kerajaan

JOHOR BAHARU: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai suspek dalam kejadian samun di rumah seorang pegawai kerajaan di Taman Puteri Wangsa, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata ketiga-tiga mereka dalam lingkungan 30 dan 35 tahun itu ditahan antara 1 pagi dan 9 pagi Jumaat lepas setelah beberapa serbuan dijalankan di sekitar Ulu Tiram dan Kulaijaya.

"Ketiga-tiga lelaki yang mempunyai rekod jenayah samun dan dadah itu kini direman sehingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurut Zainuddin, dalam kejadian samun 8.40 malam itu, ketiga-tiga suspek bersama tiga lagi rakan yang masih bebas dipercayai mengikat isteri, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki pegawai kerajaan terbabit.

"Mereka kemudian melarikan sebuah kereta Proton Persona dan sebuah Toyota Camry, tujuh telefon bimbit, wang tunai RM4,000, sejumlah mata wang Euro, beberapa keping cek bernilai RM8,750, barang kemas, tujuh jam tangan, lima komputer riba serta sejumlah dokumen diri dan bank mangsa," katanya.

Kesemua penjenayah terbabit bersenjatakan parang panjang dan ketika kejadian, pegawai berkenaan sedang bersembahyang di masjid berdekatan.

Beliau berkata ekoran penahanan itu, beberapa barang dipercayai hasil samun termasuk sebuah telefon bimbit, tiga komputer 'tablet' dan lima komputer riba dirampas daripada suspek.

Polis turut menemui semula kereta Proton Persona berkenaan manakala kereta Toyota Camry itu dipercayai sudah dijual kepada pihak ketiga di ibu negara.

Usaha sedang giat dijalankan polis bagi mengesan tiga rakan suspek yang masih bebas serta beberapa barang samun yang belum ditemui, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain