suria

Pengedaran Dadah Kini Melibatkan Warganegara Indonesia

GEORGE TOWN: Polis mendapat bukti bahawa warga Indonesia kini mula terlibat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di negara ini berikutan tertangkapnya seorang lelaki bersama syabu bernilai RM800,000 di sini Sabtu lepas.

Lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun itu ditahan bersama 3.9kg dadah berkenaan di satu sekatan jalanraya dikendalikan oleh Unit Peronda Polis Elit di KM142.3 Lebuhraya utara-selatan dekat Juru pukul 1 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob memberitahu satu sidang media di sini hari ini, dengan tangkapan itu pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.

Beliau berkata unit peronda berkenaan sebelum itu melihat lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan lalu membuat pemeriksaan dalam kereta Toyota Camry yang dipandunya dan menemui empat paket minuman segera diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan.

"Suspek cuba mengaburi polis dengan menyembunyikan dadah dalam bungkusan minuman segera. Suspek yang tidak memiliki lesen memandu memberitahu dia sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara Semenanjung," kata Ayub.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit aktif dalam aktiviti pengedaran dadah dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah.

Menurutnya, dadah tersebut dipercayai diperoleh dari selatan untuk dihantar kepada anggota sindiket di kawasan utara Semenanjung.

"Ini satu lagi senario baru di mana warga asing dari Indonesia terlibat. Dahulu kita ingat orang bawa (dadah) adalah daripada negara Arab dan Afrika tetapi sekarang oleh warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata lelaki terbabit telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Ayub berkata berkata polis sedang mengesan anggota lain dalam sindiket terbabit dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis jika melihat sebarang pergerakan yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain