suria

Pasukan Khas Kesan Pecah Rumah Di P. Pinang

BUKIT MERTAJAM: Polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar negeri ini dan usaha untuk menangkap mereka sedang giat dijalankan, kata Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah bagi mengesan kumpulan terbabit.

"Kegiatan pecah rumah di Pulau Pinang sejak sebulan lepas agak membimbangkan dan statistiknya juga meningkat, jadi pihak polis perlu lakukan sesuatu bagi memastikan aktiviti terbabit dapat dibendung. "Kita telah berjaya mengenal pasti kumpulan yang terlibat dan pasukan khas juga telah ditubuhkan bagi mengesan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama komuniti di sini malam Ahad.

Katanya antara pendekatan yang diambil ialah meningkatkan rondaan pada waktu malam di kawasan yang kerap berlaku kegiatan pecah rumah. "Selain itu, kita juga membuat rondaan pada waktu malam di kawasan-kawasan yang tempat berpotensi berlaku kegiatan pecah rumah bagi mencegah kegiatan itu," katanya.

Sementara itu Ayub yang akan menjawat jawatan baru sebagai Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman mulai bulan depan, berkata beliau gembira dan berpuas hati bahawa sepanjang empat tahun satu bulan beliau bertugas sebagai Ketua Polis Negeri, kadar jenayah di negeri ini dapat dikurangkan dari tahun ke tahun.

Katanya antara pendekatan yang digunakan bagi mengurangkan jenayah ialah dengan mendekatkan anggota polis dengan masyarakat dan menambah bilangan anggota di kawasan tumpuan orang ramai.

"Sejak saya mula bertugas di Pulau Pinang, saya selalu ingatkan kepada lebih 5,000 pegawai dan anggota agar sentiasa dekatkan diri dengan masyarakat agar mereka (masyarakat) dapat bersama-sama membantu polis mengurangkan kadar jenayah.

"Nampaknya pendekatan itu berjaya kerana setiap tahun kadar jenayah di Pulau Pinang semakin menurun dan terbaru untuk enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 21 peratus indek jenayah berjaya diturunkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain