suria

Langkah AirAsia Di Jakarta Hanya Keputusan Perniagaan - Rafidah

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak boleh berfikiran sempit terhadap keputusan AirAsia untuk menempatkan semula pangkalan Aseannya ke Jakarta kerana ia merupakan satu langkah berasaskan kedudukan serantau syarikat penerbangan itu, kata Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz.

Katanya, AirAsia dan anak syarikat jarak jauhnya, AirAsia X, membuat keputusan perniagaan bagi mewujudkan hubnya di Indonesia, sambil mengekalkan ibu pejabat syarikat kos rendah itu di Malaysia.

Secara realitinya, rakyat Malaysia sepatutnya berbangga kerana syarikat yang lahir di Malaysia itu menubuhkan hub di negara lain, katanya kepada Bernama. "Kami bukan syarikat penerbangan Malaysia bagi Malaysia, kami adalah syarikat penerbangan serantau. Secara sendirinya, Indonesia adalah pasaran yang besar dan kami perlu memberitahu dunia bahawa kami sebenarnya syarikat penerbangan serantau."

"Keputusan seperti itu dilakukan oleh banyak syarikat yang lain di dunia. Sama seperti bagaimana Malaysia menarik syarikat multinasional yang lain menubuhkan hub serantau masing-masing di sini." "Kami (AirAsia dan AirAsia X) sentiasa menyarankan syarikat dan pekerja kami untuk memikir secara global dan inilah masanya untuk berbuat demikian. Apabila kami dapat peluang seperti ini, kami perlukan sokongan kesemua rakyat Malaysia," kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Pada 13 Jun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan bahawa syarikat tambang murah itu akan memindahkan hub Aseannya ke Jakarta, yang menarik kritikan dari beberapa pihak bahawa Malaysia kemungkinan kehilangan kedudukannya sebagai hub syarikat penerbangan kos rendah utama di rantau ini.

Fernandes, pengasas bersama AirAsia, berkata beliau akan berpindah ke Indonesia bagi menjaga program pembesaran syarikat penerbangan itu di Asean manakala Ketua Serantau Kewangan Korporat dan Perbendaharaan syarikat penerbangan itu, Aireen Omar, akan mengetuai operasi di Malaysia.

Dari pangkalan Asean di Jakarta, Rafidah berkata AirAsia akan dapat berkembang di Indonesia, iaitu ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan kemudiannya ke ekonomi membangun lain di rantau itu.

"Siapa tahu, kami akan mempunyai hub serantau di Asia Barat, iaitu satu pejabat di sana bagi menampung negara seperti Iran atau satu pangkalan di Asia Timur bagi China.

"Saya berkeyakinan bahawa langkah itu akan memberi impak secara positif kepada penjenamaan global AirAsia. Ibu pejabat kami adalah di sini dan kami menempatkan pejabat mengikut rantau. Itu tidak salah," katanya.

Rafidah berkata AirAsia dan AirAsia X kini perlu berkembang pada laluan matang syarikat penerbangan itu dan memastikan laluan berkenaan terus menyediakan keuntungan yang mampan bagi mempastikan aliran berterusan pendapatan tidak terganggu apabila Dasar Langit Terbuka Asean berkuat kuasa pada 2015.

"Sambil laluan matang itu membawa masuk pendapatan, laluan mampan yang baharu perlu dicari," katanya, sambil menyatakan bahawa beliau berkeyakinan AirAsia dapat menampan persaingan sengit sebaik dasar itu berkuat kuasa.

"Jenama syarikat penerbangan itu telah dibina secara jitu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain