suria

KLIFD Dinamakan Semula Tun Razak Exchange, Pasukan Petugas Dilantik Pantau Pembangunan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (empat dari kanan) melihat model Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Financial District) selepas melancarkannya pada Isnin. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (empat dari kanan) melihat model Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Financial District) selepas melancarkannya pada Isnin. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (empat dari kanan) melihat model Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Financial District) selepas melancarkannya pada Isnin. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan pelantikan pasukan petugas khas untuk memantau pembangunan Tun Razak Exchange, yang dahulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), sehingga projek yang akan dilaksanakan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur itu beroperasi sepenuhnya.

Katanya pasukan petugas itu akan diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dan dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan agensi-agensi berkaitan.

Pasukan petugas itu akan memastikan bahawa bursa itu mendapat sokongan keseluruhan jentera kerajaan pada setiap masa dari perancangan dan pembangunan sehingga siap sepenuhnya dan beroperasi, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

"Kerajaan akan melakukan sedaya upaya untuk memastikan bursa itu menjadi kenyataan dan sebagai langkah pertama, saya mengumumkan hari ini bahawa kita akan memulakan satu semakan semula secara komprehensif peraturan perniagaan," katanya semasa menyampaikan ucaptama sebelum melancarkan bursa itu.

Asas lojik untuk dilakukan semakan semula itu adalah mudah, katanya, sambil menyatakan "apa-apa yang menyumbang kepada kemajuan masa depan akan diteruskan, apa-apa yang ketinggalan zaman akan dihapuskan."

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa insentif seterusnya akan diberikan, yang berasaskan insentif yang telah diumumkan pada tahun lepas.

Ia termasuk pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman dan servis; peruntukan pembinaan berindustri dan peruntukan modal dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah yang layak di Tun Razak Exchange itu.

Najib juga mengumumkan bursa itu telah mempunyai rakan tersedia bagi keseluruhan Fasa 1.

Katanya rakan antarabangsa itu adalah pihak pertama yang memberikan idea bagi penubuhan ekosistem kukuh itu bagi menyokong infrastruktur bursa itu.

"Yang akan turut terdapat ialah pelabur strategik yang akan membawa masuk pelaburan langsung asing lebih RM3.5 bilion. Satu majlis khas akan dilakukan September ini bersempena pengumuman pengenalan dan butiran lanjut pihak tersebut," kata Najib.

Tun Razak Exchange adalah satu kawasan peluang pelaburan baharu seluas 28 hektar, yang dianggarkan akan menjana RM26 bilion di segi nilai pembangunan kasar.

Ia akan meliputi reka bentuk antarabangsa utama dan prinsip perancangan dan progresif di dunia, bangunan dan infrastrukturnya akan mematuhi paras kemampanan tertinggi.

Para pejalan kaki akan berupaya berjalan dan bermain di kawasan awam hijau dan akan disambungkan dengan pengangkutan awam, yang termasuk transit pantas massa (MRT).

Najib berkata lebih 250 daripada syarikat utama dunia akan ditempatkan di bursa itu, yang akan mewujudkan kira-kira 500,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung menjelang bursa itu disiapkan sepenuhnya.

"40,000 akan merupakan pekerja berpengetahuan yang mengkhusus di dalam perkhidmatan kewangan, yang mencerminkan impian kita bagi Tun Razak Exchange untuk menjadi pusat kepada komuniti perniagaan antarabangsa yang kukuh, cergas dan pelabgai," katanya.

Najib berkata bursa baharu itu akan menawarkan pertumbuhan seterusnya kewangan Islam, yang merupakan satu sektor yang mempunyai potensi tanpa had.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menjadikan bursa itu mudah kepada para pelabur untuk mengambil bahagian di dalam pasaran kewangan Islam Malaysia dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hub global bagi kewangan Islam.

Kewangan Islam, yang bernilai hanya US$5 bilion pada 1985, kini bernilai lebih US$1 trilion.

Sektor kewangan Islam Malaysia sendiri kini bernilai lebih US$400 bilion dan sektor yang sedang melonjak naik itu kini diambang meningkat tiga kali di segi nilai pada dekad akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain