suria

Kes Bunuh Rakyat Indonesia: Polis Buru Lelaki Warga Thailand

KUALA TERENGGANU: Polis kini memburu seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang buruh rakyat Indonesia yang mayatnya ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tapah, Setiu, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata polis menemui beberapa petunjuk berkaitan suspek utama itu setelah melakukan serbuan di rumahnya petang semalam yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Katanya hasil siasatan lanjut di dalam rumah berkenaan polis menemui beberapa pengenalan diri milik suspek dan mendapati premis berkenaan telah ditinggalkan secara tergesa-gesa.

"Kita percaya suspek telah melarikan diri bersama teman wanitanya dan kita yakin suspek masih bersembunyi di sekitar negeri ini.

"Hasil maklumat orang awam juga kita mendapati suspek yang bekerja sebagai penoreh getah itu telah lama tinggal serumah dengan teman wanitanya yang dikenali dengan nama 'Mek Na' yang juga bukan warganegara Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di sini, Isnin.

Manoharan berkata polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu disebabkan perasaan cemburu membabitkan wanita tersebut apabila siasatan awal mendapati mangsa turut mempunyai hubungan dengan wanita itu.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang bernama Abd Halim @ Zaki b Idres, 51, yang berasal dari Yala, Thailand agar tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.

Dalam kejadian itu satu mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Heri, 33, ditemui dalam keadaan berulat dalam parit dengan beberapa kesan tetakan di kepala, dahi, kaki dan tapak tangan.

Manoharan berkata lelaki itu telah beberapa tahun bekerja di ladang kelapa sawit di Setiu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain