suria

Kemalangan Korban Empat Sahabat: Mangsa Kelima Meninggal Dunia

KUANTAN: Mangsa kelima kemalangan yang mengorbankan empat sahabat semalam yang dilapor kritikal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, disahkan meninggal dunia petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata Wan Samsiah Wan Abdul Ghani, 29, dari Jalan Nibong Stesen, Dungun, Terengganu disahkan meninggal dunia pukul 2.30 petang tadi.

"Mangsa yang kritikal dan dirawat di wad unit rawatan rapi di HTAA meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya selepas kemalangan terbabit," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dalam kejadian 11.15 malam semalam itu, tiga sahabatnya Mohd Shahidan Shaari, 26, Mohd Shahafiz Othman, 22, Muhd Taufik Abd Rahman, 20, maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Nazrin Hafizi Abdul Latif, 19, meninggal dunia pada 6 pagi semalam di HTAA ketika menerima rawatan.

Kemalangan ngeri itu berlaku setelah kereta yang dipandu Mohd Shahidan merempuh treler berisi bijih besi sebelum dilanggar sebuah kereta lain di Km 18, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dekat sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain