suria

Dua Pistol, 40 Butir Peluru, 10 Bilah Parang Dirampas Dalam Serbuan Dadah

SHAH ALAM: Polis merampas dua pucuk pistol, 40 butir peluru dan 10 bilah parang panjang dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah rumah teres di Taman Bukit Pandan, Ampang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam serbuan 4.30 petang itu polis turut menahan sepasang suami isteri berusia 28 dan 27 tahun serta seorang remaja lelaki berumur 18 tahun.

Turut dirampas satu peket plastik berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin dengan berat 143 gram bernilai kira-kira RM8,000, katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Tun Hisan berkata polis masih menyiasat kaitan senjata api jenis Smith & Wesson, peluru serta parang panjang tersebut dengan kesemua suspek, memandangkan mereka tiada rekod jenayah.

Serbuan adalah berkaitan dadah kerana suspek dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin di sekitar Ampang sejak enam bulan lepas, katanya.

Tun Hisan berkata suami wanita berkenaan dipercayai bekerja sebagai buruh manakala isteri dan remaja terbabit tidak bekerja. Siasatan awal mendapati remaja berkenaan menyewa bilik di rumah pasangan tersebut, katanya.

Kesemua suspek direman hingga 3 Ogos ini dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 7(1) Akta Senjata Api 1971. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain