suria

Pembangkang Hanya Bersatu Jatuhkan BN, Tidak Ikhlas Bantu Rakyat - Nazri Aziz

PADANG RENGAS: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan keputusan PAS terhadap pelaksanaan hukum hudud yang ditentang DAP menunjukkan kerjasama dalam pakatan pembangkang sebenarnya tidak ikhlas dan hanya bertujuan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pakatan pembangkang hanya mempunyai perasaan hasad dengki untuk menjatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang dan bukan bertujuan menubuhkan kerajaan untuk menguruskan hal-hal rakyat.

"Pakatan yang dimaksudkan mereka ini sebenarnya bukan pakatan yang kukuh...malah mereka hanya berpakat untuk menjatuhkan BN dan mereka bukan mahu meletakkan kepentingan dalam memajukan rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sebuah van jenazah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan majlis berbuka puasa di Masjid Kati di sini, Sabtu.

Mohamed Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam yang mengulangi pendirian parti itu akan memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak dipersetujui DAP.

Pengerusi DAP Karpal Singh dilaporkan meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang boleh merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.

Pada majlis itu, Mohamed Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Pengerusi Masjid Jamek Mardhiah, Ali Abdul Hamid dan kad akaun BSN kepada lapan buah surau terpilih di sekitar Kati. -BERNAMA

Artikel Lain