suria

Pelajar Tipu Keluarga Minta Kononnya Diculik & Wang Tebusan RM8,000 - Polis

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah menengah di sini sanggup menipu keluarganya dengan mendakwa dia diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM8,000, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata pelajar lelaki berkenaan berbuat demikian setelah merajuk dan berang dengan bapanya yang melarang dia menggunakan motosikal bapanya.

Katanya pelajar berkenaan bertindak meninggalkan rumahnya di Kampung Machang Lada di Marang pada kira-kira pukul 9 pagi, Selasa lepas dengan menggunakan basikal.

"Namun selepas menunggu sehingga ke malam, anaknya tidak juga pulang ke rumah, bapa pelajar itu yang bekerja sebagai tukang besi membuat laporan polis kira-kira pukul 11 malam hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, keesokkan harinya bapa pelajar itu menerima panggilan daripada seorang individu yang tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM8,000 untuk membebaskan anaknya, katanya. Katanya lelaki yang bercakap menggunakan dialek tempatan itu meminta tukang besi tersebut meletakkan wang berkenaan di belakang sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Ibai, di sini hari berikutnya.

Pada keesokkan harinya tukang besi berkenaan sekali lagi menerima panggilan daripada orang yang sama memberitahu anaknya akan dikembalikan selepas menerima wang tebusan.

"Bagaimanapun, apabila bapanya melakukan apa yang diarahkan, penculik mahupun anaknya tidak juga kelihatan," katanya.

Manoharan berkata bimbang dengan keadaan itu, bapa pelajar itu bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan Kuala Ibai dan menemui anaknya kira-kira 5 petang semalam sedang berjalan dengan seorang rakan di hadapan sebuah pasar raya.

Katanya pelajar berkenaan dan rakannya yang berumur 14 tahun kini ditahan reman sehingga Selasa ini untuk siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain