suria

MIC Akan Pastikan Sokongan Lebih Kuat Kaum India Pada PRU13 - Palanivel

CYBERJAYA: MIC akan memastikan sokongan lebih kuat kaum India kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang berbanding 2008.

Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel berkata sokongan kaum India terhadap parti komponen itu bertambah kuat kali ini memandangkan komuniti tersebut mendapat manfaat yang besar daripada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak mengambil alih jawatan pada 2009, Najib sentiasa bersedia untuk terlibat dalam isu penting dan menawar untuk melebarkan peluang kepada kaum India dalam bidang pendidikan, program pembangunan serta perkhidmatan awam.

"Semua inisiatif ini kini membuahkan hasil. Kita boleh nampak lebih ramai orang India yang menyokong Barisan Nasional dan MIC sekarang berbanding pada Pilihan Raya Umum 2008. Sememangnya sokongan masyarakat secara keseluruhan meningkat dan senario pada 2008 tidak akan berulang.

"Kami sedang berusaha menjadi sebuah parti yang lebih baik untuk masyarakat," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama 600 mahasiswa do Sidang Kemuncak Pelajar India 1Malaysia di Universiti Limkokwing pada Sabtu.

Palanivel mengulas tinjauan pendapat oleh Merdeka Centre baru-baru ini di kalangan pengundi di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu mendapati jumlah pengundi India yang berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri merosot daripada 72 peratus kepada 69 peratus.

Berhubung isu seorang pemimpin penting MIC di Perak yang didakwa terlibat dalam skandal video seks, Palanivel berkata video itu mungkin betul atau hanya satu penipuan yang dilakukan akibat cemburu dan marah. "Bagi MIC, jika video itu wujud dan kami menerimanya, kami akan mengambil tindakan disiplin terhadap orang yang mendedahkannya kepada portal media dalam talian (Free Malaysia Today), dan individu yang terlibat dalam video tersebut," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain